Setelah beberapa tahun dinaik taraf menjadi Sekolah Menengah Teknik (SMT), 60 daripada 88 SMT di seluruh negara akan kembali menawarkan aliran vokasional dan dikenali semula sebagai Sekolah Menengah Vokasional (SMV) secara berperingkat menjelang 2012.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata usaha menambah bilangan SMV penting bagi memenuhi keperluan semasa selain kecenderungan pelajar kini lebih menjurus pada subjek kemahiran.
Sebagai langkah awal, 26 SMT akan ditukar kepada SMV bulan depan, manakala selebihnya akan dijalankan secara berperingkat sehingga 2012. Kementerian menyasarkan pada 2012, hanya 28 SMT beroperasi di seluruh negara manakala yang lain ditukar sepenuhnya kepada SMV.
SMT sekarang ini tertumpu kepada bidang kejuruteraan. Oleh itu, kementerian mahu memperbanyakkan SMV memandangkan kajian sebelum ini dilakukan, pelajar lebih cenderung mendalami kemahiran bagi meneruskan karier mereka pada masa akan datang.
Usaha itu perlu dilakukan secara drastik berikutan kebanyakan negara lain terutama Indonesia lebih maju bidang kemahiran walaupun kekurangan peralatan teknologi. Lulusan vokasional juga seperti perhotelan dan katerer mendapat permintaan tinggi daripada industri ketika ini.
Dulu, masyarakat beranggapan SMV adalah sekolah budak jahat dan kelas kedua. Anggapan itu salah kerana ilmu kemahiran cukup penting kepada pelajar.
Dulu, masyarakat beranggapan SMV adalah sekolah budak jahat dan kelas kedua. Anggapan itu salah kerana ilmu kemahiran cukup penting kepada pelajar.
Kajian kementerian mendapati 39 peratus pelajar cenderung pada akademik, 29 peratus vokasional, seni 19 peratus, budaya dan sosial 9.7 peratus dan sukan hanya mencatatkan 2.7 peratus. Ini adalah berdasarkan Ujian Aptitud yang dibuat di kalangan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.
Kementerian juga sedang meneliti cadangan membina kolej vokasional supaya negara mampu mengeluarkan pelajar lulusan Diploma dalam bidang kemahiran yang berpotensi tinggi. Pada masa depan juga kementerian mewujudkan jurusan penerbangan di SMV sama seperti di Indonesia bagi menambah nilai kemahiran pelajar vokasional
Proses penawaran semula aliran vokasional di 60 SMT berkenaan akan melibatkan kos kira-kira RM400 juta. Ini kerana SMV memerlukan kelengkapan, alatan dan mesin yang lebih banyak berbanding sekolah teknik.
Permohonan kemasukan ke Tingkatan 4 SMT dan SMV masih dibuka dan akan ditutup pada 4 Januari 2010 ini. Maklumat lanjut sila rujuk Permohonan Kemasukan Ke Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional 2010.
Rujukan:eputra
No comments:
Post a Comment